Wednesday, November 16, 2011

kejam oh kejam..


DALAM hadis Bukhari-Ibn Umar Radiallahuanhu meriwayatkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Seorang wanita dimasukkan ke neraka, kerana mendera seekor kucing, ia tidak memberinya makan minum sehingga mati kelaparan.
Hadis di atas menunjukkan bagaimana Rasulullah SAW menyayangi kucing dan mengutuk kepada mereka yang menganiaya haiwan itu.

Namun ini tidak bagi pemilik hotel haiwan di Damansara dan di Sungai Buloh, Selangor yang pada saya boleh dikategorikan sebagai pembunuh, kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Bayangkan, kucing-kucing yang menjadi kesayangan pemilik dan dihantar ke hotel haiwan itu mengalami keadaan yang amat sengsara sehingga ada yang mati.

Lebih sadis, ada anak kucing bergelimpangan dengan tali pusat yang masih berdarah di atas lantai hotel haiwan berkenaan. Malah ketika hotel haiwan itu diserbu, ada keadaan di mana seekor induk kucing telah mati dengan mata terbuka seolah-olah memandang anak kucingnya - juga telah mati.
Apa perasaan pemilik hotel haiwan itu agaknya. Jika sebelum ini laman Facebook hotel haiwan itu mempromosikan secara besaran-besaran penginapan termasuk penjagaan kucing semasa cuti hari raya dengan kadar diskaun sehingga 28.5 peratus daripada harga asal RM14.
Malah, antara promosi yang diadakan ialah 'bilik sewaan' individu - hanya untuk seekor kucing - dengan ruang yang luas dan selesa. Namun hakikatnya ketika serbuan itu dilakukan, tiga ekor kucing diletakkan di dalam sangkar kecil dan kucing berhimpit-himpit serta ada yang diletakkan di dalam sangkar sebesar sangkar burung.
Lebih memilukan, makanan yang dibekalkan oleh pemilik langsung tidak diberi kepada kucing-kucing mereka sehingga menyebabkan kelaparan, kehausan dan lebih menyedihkan, 12 ekor mati!
Kucing yang dapat diselamatkan pula kurus kering, bulu dicukur dan ada yang fobia hingga takut untuk keluar daripada sangkar berkenaan.
Namun dua pemilik hotel haiwan itu hanya memohon maaf di dalam laman Facebook mereka (sebelum menutup akaun berkenaan) dan mengakui jumlah kucing yang diterima terlalu banyak dan tidak mempunyai kakitangan yang cukup.
Perdana Menteri juga menyatakan kesedihannya mengenai perkara ini (http://on.fb.me/pmsedih) dan saya amat berharap, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar supaya menyegerakan pindaan Akta Binatang 1953.
Kepada yang ingin menyokong sila ke laman Facebook http://on.fb.me/kisahkucing danhttp://on.fb.me/kisahkucing2 atau ke http://www.myanimalcare.org.
Harapan saya, dua pemilik hotel haiwan itu dikenakan tindakan paling keras melalui pelbagai peruntukan undang-undang yang ada agar kejadian yang sama tidak berulang.
Lihat tipu helah pemilik hotel haiwan itu ketika ditanya mengenai keadaan kucing dihttp://on.fb.me/derakucing.


(dipetik dari Utusan Malaysia)

No comments:

Post a Comment

Popular Posts